Sensasi Gaji Minima

Kerajaan Malaysia telah menetapkan gaji minima sebanyak RM900 sebulan. Dalam beberapa bulan yang akan datang, kita akan melihat bagaimana perkara ini akan disensasikan oleh berbagai pihak yang berkepentingan. Golongan ahli politik dengan ‘mileage’nya sendiri, golongan yang tidak faham akan melenting tidak tentu pasal, golongan majikan mungkin mengeluh dan sebagainya. Gaji minima seharusnya disambut baik oleh mereka yang di tangga gaji bawah daripada RM900 sebulan, dan mereka harus sujud bersyukur. Dengan menetapkan gaji minima, hasrat utama kerajaan ialah untuk membantu golongan ini.

Dalam jangkamasa yang diberi iaitu samada 6 bulan atau 12 bulan yang telah ditetapkan kerajaan mengikut kategori, tidak mustahil pihak majikan akan mengurangkan jumlah pekerja yang tidak berkemahiran dan tidak mustahil hanya menggaji mereka yang berkelayakan, terutama sekali yang berkemahiran dan mempunyai bukti Sijil Kemahiran.

Kita semua bakal melihat transformasi negara ke arah negara maju di mana, pekerja hendaklah memiliki kemahiran untuk menjawat sesuatu pekerjaan. Antara sijil yang akan menjadi penting kelak sudah tentulah sijil kemahiran, lebih-lebih lagi Sijil Kemahiran Malaysia. Beberapa tahun kebelakangan ini kerajaan telah menyediakan berbagai pakej kemahiran yang dibiayaai sepenuhnya. Ini termasuklah kemahiran perhotelan, pelancongan, pembinaan, teknologi dan sebagainya.

Mereka yang tidak mempunyai sebarang sijil kemahiran disaran untuk mengemas diri dengan mengambil bahagian di dalam program kemahiran anjuran kerajaan atau swasta. Ini adalah demi masa depan yang lebih menjamin, di mana ramai yang menjangka setiap pekerjaan yang dipohon di masa akan datang berkehendakkan seseorang pemohon itu mengemukakan bukti kemahiran mereka.

Di masa kini, ramai juga belia-belia yang masih gemar menghabiskan masa dengan aktiviti yang rugi seperti melepak, tidak mahu meneruskan pengajian, terikut-ikut dengan sesetengah pergerakan politik yang mereka sendiri tidak berapa faham dan sebagainya. Ada juga yang telah mengikuti program kemahiran kerajaan semata-mata kerana elaun yang diberikan, walhal mereka lupa bahawa sijil tidak akan dikeluarkan bagi mereka yang tidak layak, sebagai contohnya tidak memenuhi syarat lulus di dalam sesuatu program seperti kehadiran yang kurang daripada yang kadar minima yang telah ditetapkan.